Setiap nabi dan rasul sejak zaman Nabi Adam sehingga Nabi Muhammad itu pasti mempunyai 4 sifat wajib yakni:
- BENAR (SIDDIQ)
Nabi sentiasa menyampaikan kebenaran tanpa melibatkan emosi dan nafsu. Segala pertimbangan nabi mestilah bertepatan dengan kehendak Allah dan wahyu yang disampaikan.
Allah berfirman dalam Surah al-Yasin ayat 52:
(Pada ketika itu) orang-orang yang tidak percayakan hidup semula berkata: Aduhai celakanya kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari kubur tempat tidur kami? (Lalu dikatakan kepada mereka): Inilah dia yang telah dijanjikan oleh Allah yang Maha Pemurah dan benarlah berita yang disampaikan oleh rasul-rasul.
Suatu ketika, ramai orang tidak percaya apa yang disampaikan oleh para rasul tentang hari kebangkitan. Namun, ketika sampai ke hari kejadian itu nanti, barulah mereka hendak menyesal. Rupa-rupanya, apa yang disampaikan oleh rasul itu benar.
Allah berfirman dalam Surah an-Najm ayat 3-4:
Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu (sama ada al-Quran atau Hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.
Apa yang disampaikan oleh para rasul itu tidak lain dan tidak bukan kebenaran semata-mata. Rasul tidak akan bercakap berdasarkan nafsunya. Rasul hanya akan bercakap berdasarkan wahyu yang telah wahyukan kepadanya sahaja.
2. MENYAMPAIKAN (TABLIGH)
Para rasul akan menyampaikan segala syariat yang diterima daripada Allah kepada umatnya. Inilah sifat tabligh, iaitu menyampaikan. Para rasul tidak akan menyorokkan sebarang ajaran. Para rasul juga tidak akan menyembunyikan sebarang syariat.
Allah berfirman dalam Surah al-Mai’dah ayat 99:
Tidak ada kewajipan yang ditugaskan kepada Rasulullah SAW selain daripada menyampaikan (perintah-perintah Allah) sahaja.
Para rasul wajib menyampaikan perintah-perintah Allah kepada masyarakat tanpa tertinggal barang sedikit pun.
3. BIJAKSANA (FATONAH)
Para rasul memiliki kebijaksanaan dalam segala aspek dan pembawaannya. Mustahil sama sekali para rasul itu tidak bijak bercakap, tidak bijak mengurus dan sebagainya.
Allah berfirman dalam Surah Sad ayat 20:
Dan Kami kuatkan kerajaannya, serta Kami kurniakan kepadanya hikmat kebijaksanaan dan kepetahan berkata-kata (dalam menjalankan hukuman dan menjatuhkan hukuman).
Dalam ayat ini, Allah tujukan kepada para rasul yang menjadi hakim kepada masyarakatnya. Dalil ini menjadi bukti bahawa para rasul mempunyai kebijaksanaan dan kecerdikan dalam setiap aspek.
4. AMANAH
Semua rasul boleh dipercayai, mereka menjalankan tanggungjawab dengan penuh integriti dan adil.
Hal ini boleh dilihat dari segi sejarah kehidupan Nabi Muhammad. Baginda sebelum dilantik menjadi rasul pun baginda sudah menjadi orang yang dipercayai dalam kalangan orang Arab ketika itu, sehingga beliau digelar al-Amin.
SUMBER: https://akumuslim.asia/sifat-wajib-rasul-tugas-mereka/